Wednesday, 31 August 2011

BUKTI KHASIAT PEGAGA

         Selain itu, pegaga juga telah lama digunakan sebagai tonik untuk membersihkan darah, merawat ulser, sifilis, dan kelenjar limfa. Amalan meminum jus pegaga amat mujarab untuk membantu mereka yang bermasalah untuk tidur, merawat kerengsaan kulit dan tekanan darah tinggi. Walaupun pegaga amat baik dimakan mentah tetapi daun yang diramas dengan sedikit air amat baik jika disapukan pada kudis dan luka. Di samping itu, pegaga juga memberi kesan kepada beberapa peringkat pembentukan tisu seperti menghilangkan parut, membina kolagen, merangsang pembentukan rambut dan kuku. Pegaga juga dipercayai boleh mempercepatkan proses penyembuhan luka, ulser dan masalah kulit lain. Oleh itu tidak hairan jika ia dijadikan makanan wajib bagi wanita berpantang supaya luka bersalin lebih cepat sembuh.

       Mengamalkan meminum jus pegaga dapat meningkatkan daya ingatan seseorang. Tambahan lagi, ia juga dipercayai boleh meningkatkan kebaikan prestasi kanak-kanak yang mengalami kecacatan akal.

       Dewasa ini,  produk yang berasaskan pegaga telah digunakan dengan meluas dalam industri kecantikan sebagai anti selulit, anti kedutan (anti wrinkle), untuk mata dan muka, menambah ketegangan kulit dan meningkatkan pembentukan kulit yang baru.

      Tumbuhan seperti pegaga mempunyai pelbagai keunikan untuk meningkatkan tahap kesihatan seseorang termasuk dalam  kalangan kanak-kanak yang  kurang upaya. Profesor di Fakulti Sains dan Teknologi Pemakanan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Suhaila Mohamed menyifatkan bahawa tumbuhan herba yang lazimnya dijadikan ulam-ulaman itu dapat membantu meningkatkan keupayaan dari segi pengawalan saraf dialam kalangan kanak-kanak yang  terbabit. Hal ini demikian kerana,  pegaga mempunyai kesan pelalian pada saraf. Bagi mereka yang mahu meningkatkan daya ingatan, pegaga antara pilihan herba yang baik berdasarkan hasil kajian yang telah dijalankan UPM kira-kira dua tahun yang  lalu.

Kajian dalam kalangan lelaki dan wanita dalam  lingkungan usia 35 hingga 55 tahun itu mendapati pegaga bukan sahaja berupaya meningkatkan ingatan,  malah dapat  mengurangkan paras glukos dan kolesterol dalam badan. Bagi lelaki pula, Prof Suhaila mengakui ia didapati dapat meningkatkan tenaga seksual.

Tuesday, 30 August 2011

KHASIAT PEGAGA

        Dari segi kegunaannya, pegaga mempunyai banyak kegunaan untuk manusia dalam kehidupan seharian kita. Pegaga dapat mengurangkan tekanan darah tinggi, mencegah nyanyuk, melambatkan proses penuaan dan menolong badan daripada mendapat bahan toksik. Sejak akhir-akhir ini, pegaga banyak digunakan di barat sebagai tonik saraf untuk merehatkan dan menambahkan ingatan. Di India pula, pegaga juga banyak digunakan untuk mengatasi masalah kulit.

        Di timur pula, pegaga juga digunakan untuk mengatasi masalah seperti kemurungan yang mungkin disebabkan oleh masalah fizikal. Kajian terbaru menunjukkan bahawa  pegaga memeberikan kesan  yang positif terhadap sistem pengaliran darah. Hal ini demikian kerana, pegaga dapat menguatkan salur darah dan kapilari dalam badan. Ia juga telah menunjukkan kesan yang memberangsangkan apabila ia digunakan untuk merawat kejang kaki, bengkak kaki dan masalah kaki iaitu terasa berat dan kebas.

        Daun pegaga pula  berfungsi sebagai astrigensia dan tonikum. Pegaga juga digunakan untuk
revitalisasi tubuh dan otak yang lemah. Selain itu, pegaga juga memberikan kesuburan kepada kaum hawa.


        Pegaga amat sesuai digunakan untuk penyakit seperti berikut:

1.  Pembengkakan Hati
2.  Demam dan Campak
3.  Sakit Tekak,

4.  Batuk Kering,
5.  Asma, Brokitis,

6.  Pleuritis
7.  Radang Mata Merah
8.  Keputihan
9.  Tekanan Darah Tinggi
10.Sakit Perut, Disentri, Cacing, Buasir
11.Tidak Selera Makan,

12. Sakit Perut,
13. Keracunan Makanan
14. Batuk Darah,

15. Muntah Darah
16. Busung,

17. Bisul
18. Infeksi Saluran Kencing (kencing kotor)
19. Perangsang otak – kuat daya ingatan (mencegah nyanyuk)
20. Melambatkan proses penuaan




           Pegaga atau nama saintifiknya Cantella asiatica boleh membangkitkan selera makan, membantu meredakan masalah penghadaman, mengatasi masalah buasir kerana mengandungi serat. Ia juga mampu melancarkan aliran darah, terutama bagi wanita yang ada masalah haid. Pegaga juga dijadikan ubat untuk merawat masalah keputihan yang menyebabkan faraj terasa gatal
          Air perahan daun pegaga juga dikatakan boleh menyejukkan badan dan elok diamalkan jika demam, mengalami masalah berak berdarah atau lelah. Amalan minum air rebusan akar pegaga ini dipercayai boleh membantu mengawal paras gula dalam darah dalam  kalangan pesakit kencing manis. Malah, ada yang menjadikannya sebagai minuman untuk menguruskan badan.





Sunday, 28 August 2011

KHASIAT PEGAGA DARI SELURUH BAHAGIAN YANG ADA PADA POKOK PEGAGA

        Biasanya seluruh bahagian pegaga iaitu daun, tangkai daun, batang, bunga, buah, dan akarnya mempunyai banyak kegunaan dan khasiat yang tinggi. Di Indonesia, bunga dan buah pegaga tidak dimakan kerana ia dikatakan menjadi punca penyakit reumatisme sekiranya terlalu banyak dimakan. Namun demikian, ada juga orang yang yakin bahawa mereka akan memperolehi  umur yang panjang dan awet muda apabila mengamalkan pengambilan pegaga dalam makanan seharian mereka. Tetapi berdasarkan kajian, pegaga menunjukkan ia boleh dimakan selalu tetapi dalam kuantiti yang sedikit sahaja bagi mendapatkan kesan positif. Hal ini demikian kerana, pengambilan yang berlebihan akan mengakibatkan kesan narkotik dan keracunan kumulatif yang meransang tumor untuk jangka masa  yang panjang.

       Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengiktiraf pegaga sebagai herba menjana kecerdasan berfikir terutamanya dalam kalangan kanak-kanak. Pegaga yang dikenali juga sebagai Centella asiatica telah diperakui WHO kerana kaya dengan pelbagai ramuan ubatan. Herba ini mula digunakan dalam perubatan Ayurveda. Ia juga pernah digunakan dalam perubatan herba Shennong di Cina lebih kurang pada 2000 tahun yang lalu.

Di Malaysia, terdapat pelbagai jenis pegaga, antaranya:

        1. Pegaga Cina Atau Pegaga Nyonya
        2. Pegaga Daun Lebar
        3. Pegaga Kelantan
        4. Pegaga Renek
        5. Pegaga Salad
        6. Pegaga Gajah
        7. Pegaga Brunei

       Manakala dari segi kandungannya, pegaga mengandungi asiaticoside, thankuniside, isothankuniside, madecassoside, brahmoside, brahmic acid, brahminoside, madasiatic acid, meso-inositol, centelloside, carotenoids, hydrocotylin, vellarine, tanin serta garam mineral seperti kalium, natrium, magnesium, kalsium dan besi. Glikosida triterpenoida yang disebut asiaticoside merupakan antilepra dan penyembuh luka yang sangat luar biasa. Zat vellarine yang ada dalam pegaga ini dapat memberikan rasa pahit.

       Pegaga juga mengandungi banyak sebatian kimia dan bioaktiviti yang terbukti mengandungi ciri-ciri antibakteria, antipasma, antiinflamasi, hipotensif dan insektisid. Dalam bidang perubatan tradisi, ia digunakan sebagai agen anti alergi, anti kanser, anti disenteri, peransang pembuangan urin, hipotensif, stimulan, tonik, menyejukkan badan, mengeluarkan batu karang, penawar kencing berdarah, kusta, gonorea,luka, kudis, dan sakit kerongkong. Pegaga juga merupakan anti-infeksi, antiracun, penurun panas, melawaskan pembuangan air kencing, antilepra dan anti sifilis.










 

KHASIAT PEGAGA

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera saya ucapkan,

       Bersyukur saya ke hadrat Illahi kerana dengan limpah kurniaan-Nya, saya masih dapat menghirup udara yang diciptakan oleh-Nya, dan masih berkesempatan untuk bersama anda semua.

       Sudah lama saya tidak menulis blog saya ini. Hal ini demikian kerana akibat kekangan masa yang tidak mengizinkan saya untuk berkongsi satu tajuk yang menarik untuk tatapan kalian iaitu "Khasiat Pegaga".

       Pasti anda pernah mendengar tentang tumbuhan ciptaan yang unik pada sebelum ini bukan? Namun demikian, adakah anda mengetahui secara mendalam tentang definisi tumbuhan ini? Pegaga atau nama saintifiknya centella asiatica/hydocotyle asiatica ialah sejenis ulaman popular orang Melayu. Pegaga juga merupakan sejenis tumbuhan menjalar yang tumbuh pada tanah yang agak lembab seperti kebun, ladang, tepi jalan dan batas sawah.  Pada asalnya, tumbuhan ini dimakan sebagai ulam-ulaman kerana ia dapat  menambahkan selera makan disebabkan daunnya yang wangi dan manis. Pegaga juga  mudah tumbuh di kawasan tanah yang subur, agak lembab dan bersaliran baik. Ia membiak melalui pecahan anak. Tumbuhan yang kecil ini besar khasiatnya. Pegaga amat kaya dengan vitamin A dan C serta zat besi, ia juga sering dijadikan sayur-sayuran ‘rasmi’ untuk wanita ketika berpantang.

       Berdasarkan fakta sejarah, mengikut ceritanya, pokok pegaga ini dimakan pada awalnya oleh penduduk India setelah melihat gajah yang terkenal dengan umurnya yang panjang didapati selalu mengunyah tumbuhan ini. Jadi ia dimakan pada asalnya untuk memanjangkan umur. Kini ia diambil sebagai ulam dan jus kerana rasa dan baunya yang menambahkan selera. selain dimakan mentah sebagai ulam, pegaga juga boleh dimasak lemak dan dijadikan kerabu.

      Kajian yang dilakukan pada 1949, mendapati pegaga amat  mujarab untuk mengubati penyakit kusta dan ulser kerana ciri-ciri antibakteria yang ada pada tumbuhan tersebut. Penyelidikan seterusnya yang dijalankan sekitar tahun 1950-an pula mendapati pegaga amat baik untuk menyembuhkan luka, kudis serta mengubati kerengsaan kulit.Pegaga juga dapat dijadikan  sebagai makanan menjana kecerdasan otak.