Sunday 28 August 2011

KHASIAT PEGAGA

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera saya ucapkan,

       Bersyukur saya ke hadrat Illahi kerana dengan limpah kurniaan-Nya, saya masih dapat menghirup udara yang diciptakan oleh-Nya, dan masih berkesempatan untuk bersama anda semua.

       Sudah lama saya tidak menulis blog saya ini. Hal ini demikian kerana akibat kekangan masa yang tidak mengizinkan saya untuk berkongsi satu tajuk yang menarik untuk tatapan kalian iaitu "Khasiat Pegaga".

       Pasti anda pernah mendengar tentang tumbuhan ciptaan yang unik pada sebelum ini bukan? Namun demikian, adakah anda mengetahui secara mendalam tentang definisi tumbuhan ini? Pegaga atau nama saintifiknya centella asiatica/hydocotyle asiatica ialah sejenis ulaman popular orang Melayu. Pegaga juga merupakan sejenis tumbuhan menjalar yang tumbuh pada tanah yang agak lembab seperti kebun, ladang, tepi jalan dan batas sawah.  Pada asalnya, tumbuhan ini dimakan sebagai ulam-ulaman kerana ia dapat  menambahkan selera makan disebabkan daunnya yang wangi dan manis. Pegaga juga  mudah tumbuh di kawasan tanah yang subur, agak lembab dan bersaliran baik. Ia membiak melalui pecahan anak. Tumbuhan yang kecil ini besar khasiatnya. Pegaga amat kaya dengan vitamin A dan C serta zat besi, ia juga sering dijadikan sayur-sayuran ‘rasmi’ untuk wanita ketika berpantang.

       Berdasarkan fakta sejarah, mengikut ceritanya, pokok pegaga ini dimakan pada awalnya oleh penduduk India setelah melihat gajah yang terkenal dengan umurnya yang panjang didapati selalu mengunyah tumbuhan ini. Jadi ia dimakan pada asalnya untuk memanjangkan umur. Kini ia diambil sebagai ulam dan jus kerana rasa dan baunya yang menambahkan selera. selain dimakan mentah sebagai ulam, pegaga juga boleh dimasak lemak dan dijadikan kerabu.

      Kajian yang dilakukan pada 1949, mendapati pegaga amat  mujarab untuk mengubati penyakit kusta dan ulser kerana ciri-ciri antibakteria yang ada pada tumbuhan tersebut. Penyelidikan seterusnya yang dijalankan sekitar tahun 1950-an pula mendapati pegaga amat baik untuk menyembuhkan luka, kudis serta mengubati kerengsaan kulit.Pegaga juga dapat dijadikan  sebagai makanan menjana kecerdasan otak.



No comments:

Post a Comment