Thursday 1 September 2011

KHASIAT PEGAGA


Di pelosok dunia lain, penggunaan pegaga atau secara saintifiknya dikenali sebagai centella asiatica turut tersenarai dalam dunia perubatan herba ayurveda dan tradisional Cina. Perubatan ayurveda menyifatkan tumbuhan herba ini sebagai tonik otak, antara lain bagi membantu meningkatkan daya ingatan, usia panjang dan mengekalkan keremajaan.

Dalam perubatan berkenaan, seluruh bahagian pegaga dianggap sesuai untuk membantu meningkatkan daya ingatan. Dalam kalangan masyarakat India, tumbuhan berkenaan dipercayai membantu mengatasi pelbagai masalah lain seperti sakit kepala, sakit badan, asma, ulser serta menyembuhkan luka.

Perubatan tradisional Cina pula memanfaatkan pegaga untuk membantu mengatasi masalah keletihan secara fizikal dan mental. Dalam pelbagai kajian lain, pegaga memiliki pelbagai kegunaan untuk membantu meningkatkan tahap kesihatan seseorang termasuk pembentukan kolagen, membolehkan seseorang tidur lebih lena, merangsang selera makan serta membantu dari segi rawatan pernafasan, reproduktif, saraf, anti radang dan meningkatkan pengaliran darah.

Dalam penyelidikan yang menggunakan tikus sebagai sampel, didapati tikus yang diberi makan pegaga lebih aktif dan tubuh haiwan itu kurang lemak manakala organ dalaman tikus itu juga lebih sihat berbanding tikus yang tak diberi makan pegaga, jenis pegaga yang agak popular ialah pegaga gajah dan pegaga kampung dikategorikan di bawah spesies centella asiatica.

Pegaga yang turut dikomersialkan masa kini antaranya dalam bentuk sabun namun ia boleh dimanfaatkan dalam pelbagai bentuk barangan lain termasuk barangan kosmetik memandangkan keupayaan pegaga serupa seperti vitamin C.
Lebih elok jika mengambil pegaga mentah atau segar tetapi lantaran kesuntukan waktu kini, tak salah jika ia dikomersialkan kerana penggunaannya mungkin lebih mudah.
Istimewanya tumbuhan menghijau ini turut dijadikan penawar dalam menurunkan tekanan darah, melawaskan kencing, penyembuhan luka, ulser, masalah kulit dan penawar alahan.
Tumbuhan ini kaya dengan pelbagai zat makanan seperti protein, gentian, zat besi dan vitamin A dan C.
Dalam bidang kecantikan, khasiat daun pegaga terbukti mampu menjadi bahan tambahan kepada anti selulit dan anti kedutan untuk mata, muka dan menambah ketegangan kulit dan akhirnya membentuk kulit baru.






No comments:

Post a Comment